Thursday, July 28, 2016

Pasangan Doktor Hadapi 33 Pertuduhan Akta Cukai Pendapatan


Pasangan suami isteri doktor perubatan menghadapi 33 pertuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 (KKCP).

Dr. Shafie Abdul Ghafar, 50, yang juga Pengarah Syarikat Kumpulan Aminin Sdn. Bhd. menghadapi tujuh (7) pertuduhan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM200 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi setiap satu kesalahan.

Manakala dua puluh empat (24) pertuduhan lagi di bawah Kaedah 10(1) dan Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 (KKCP) kerana gagal membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) bagi bulan Januari 2011 dan bulan Januari 2012 sehingga Disember 2012 yang berjumlah RM13,302.10. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM200 dan tidak melebihi RM2000 atau penjara tidak melebihi atau kedua-duanya sekali.

Isteri beliau, Dr. Siti Rukiah Sa’at, 52, pula menghadapi dua (2) pertuduhan di bawah Seksyen 78(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal melengkapkan dan menghantar Borang BE bagi Tahun-Tahun Taksiran 2013 dan 2014 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang daripada RM200 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan dikenakan.

Bagaimanapun, ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Majistret Tanjung Malim, pasangan tersebut mengemukakan permohonan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

Majistret Syahdatul Kamilah Zakri membenarkan permohonan tersebut dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Ogos ini.

- MalaysiaGazette