Monday, November 28, 2016

Datuk Seri Vida Didakwa Gagal Bayar GST

KUALA LUMPUR: Usahawan komestik dan pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman dibenarkan wang jaminan sebanyak RM1.7 juta dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini, bagi kesemua pertuduhan ke atasnya.

Hasmiza atau dikenali sebagai Vida didakwa 16 pertuduhan di bawah Seksyen 41 (7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  2014  kerana gagal membayar cukai yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai dari April 2015 hingga Julai 2016 melibatkan RM4.2 juta.


Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.


Hakim Murtazadi Amran juga menetapkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, beliau tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan bagi kesemua pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Murtazadi Amran.


Menurut sumber Astro AWANI, ini merupakan kes pertama defendan yang tidak mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 41 (7) akta tersebut.


Pihak pendakwaan, Farah Ezlin Yusof meminta RM100,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan untuk jaminan serta dua penjamin warganegara dan pasport tertuduh juga ditahan memandangkan kesalahan itu melibatkan hasil negara.


Peguam tertuduh, Khairil Azwar Khalil meminta hakim merendahkan wang jaminan sebanyak RM3,000 untuk setiap pertuduhan kerana tertuduh merupakan pemilik tunggal syarikat yang dijalankan serta bertanggungjawab ke atas 200 pekerjanya.


Prosiding kes diteruskan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Pendakwaraya sekali lagi meminta hakim mengenakan wang jaminan berjumlah RM100,000 bagi setiap pertuduhan.

Datuk Seri Vida didakwa gagal bayar GST




- astro awani
LHDN: Cukai ke atas perniagaan dalam talian sama seperti perniagaan konvensional



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai pendapatan perniagaan dalam talian dilayan sama seperti cukai pendapatan perniagaan konvensional, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan LHDN, menurut Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967, pendapatan suatu perniagaan layak dikenakan cukai pendapatan setelah mengambil kira semua perbelanjaan yang layak dibenarkan dalam perniagaan dan pelepasan cukai yang layak dituntut oleh peniaga tersebut.

"Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh individu, cukai pendapatan mereka akan mengikut kadar cukai pendapatan individu bermula dari kosong peratus sehingga 28 peratus (mulai Tahun Taksiran 2016).

"Manakala bagi perniagaan dalam talian oleh syarikat, kadar cukai pendapatan yang akan dikenakan adalah antara 19 peratus dan 24 peratus," katanya.

Oleh itu, katanya jelas bahawa cukai pendapatan ke atas perniagaan dalam talian bukan suatu perkara baharu, iaitu ia merupakan jenis cukai pendapatan yang sama dikenakan ke atas para peniaga konvensional.

LHDN turut mengambil inisiatif menerbitkan satu garis panduan teknikal berhubung layanan cukai pendapatan ke atas perniagaan elektronik (e-Dagang) bertajuk 'Garis Panduan Percukaian Perdagangan Elektronik' pada tahun 2013.


-astro awani